Friday, February 12, 2010

PEMBUANGAN BAYI!

Salam to all.

Berita pembuangan bayi ini perlu ada penamatnya. Setiap lapisan masyarakat perlu tampil membantu. Bukan sekadar mengurut dada atau beristifar setiap kali berita disiarkan. Satu langkah proaktif daripada setiap individu diperlukan untuk menghentikan perkara ini daripada berulang kembali. Berita mengenai seorang bayi perempuan yang dihurung semut semalam (UM 11/02/10) amat menyedihkan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana bayipun. Tidak kira sama ada mereka anak tidak sah taraf atau sah tarafnya.

Ibubapa yang mempunyai anak-anak khususnya perlu meneliti berita ini dengan tindakan. Anak-anak anda tidak kira berapapun umurnya asalkan sudah baligh perlu diberi penerangan tentang seks. Ibubapa harus mempelajari bagaimana mengajar anak-anak mereka mengenai seks. Saya yakin ramai ibubapa diluar sana tidak mempunyai pengetahuan tentang pendidikan seks ini. Akibatnya ramai ibubapa yang merasakan pendidikan seks ini tidak diperlukan kerana ia akan datang secara semulajadi kepada anak-anak.

Malangnya di dalam masa menunggu maklumat seks ini datang secara 'semulajadi" , zina mengambil tempat. Anak-anak yang tidak mengetahui cara membendung nafsu atau tidak mengetahui nafsu boleh dibendung telah terlanjur. Dalam masa yang sama pengaruh barat mengenai seks yang ditonton oleh mereka setiap hari tidak membantu mereka mengetahui mengenai erti sebenar seks.

Mereka merasakan seks sebagai satu kemestian untuk orang bercinta. Anak-anak gadis menjadikan seks sebagai tanda kasih sayang dan anak-anak teruna menjadikan seks sebagai satu cabang melepas nafsu. Hari sambutan kekasih pada 14 febuari ini tentulah akan disambut oleh ramai muda mudi kita. Mereka menyambutnya juga walaupun tidak mengetahui asal usul Hari Kekasih ini. Mahukah ibubapa melihat sembilan bulan daripada sekarang berita yang sama menjadi tajuk sensasi di dada akhbar. Saya boleh berikan tajuk beritanya 'Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di hadapan sebuah surau'. Tajuk kedua mungkin berbunyi begini 'Mayat bayi perempuan yang telah dimakan binatang ditemui di dalam semak'. Tajuk ketiga akan dibaca begini 'Sepasang remaja ditangkap ketika cuba membuang seorang bayi yang masih hidup di dalam sebatang sungai'.

Mahukah kita semua disajikan dengan berita ini? Marilah kita tampil membantu anak-anak kita memahami erti sebenar seks. Ibubapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak anda. Kita perlu kembali kepada tanggungjawab sebenar kita sebagai ibubapa. Tanggungjawab kita bukan sekadar memberi anak kita makan, menghantar mereka ke sekolah dan memberikan perlindungan dalam bentuk rumah sahaja. Tanggungjawab kita adalah menjadikan anak-anak kita manusia yang mempunyai kemanusiaannya. Tanggungjawab kita juga termasuklah menanam hati yang cintakan agama, menjadikan mereka matang, bertanggungjawab, mempunyai kesedaran sivik, mempunyai jiwa menyumbang dan sebagainya.

Kepada ibubapa yang sekarang ini mempunyai anak yang terlanjur jauh, anda masih boleh menyelamatkan mereka. Tidak terlalu lewat untuk anda mengambil kembali hak anda sebagai ibubapa. Anda boleh mempelajari bagaimana cara membantu mereka dengan pembacaan, menyertai kumpulan-kumpulan sokongan keibubapaan , menyertai kursus keibubapaan dan sebagainya. Lebih penting lagi selepas mendapat maklumat keibubapaan ini, anak-anak kita mengetahui yang mereka disayangi dan kita akan melakukan apa sahaja untuk membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Dalam skop yang lebih besar pula, ibubapa yang mempunyai anak berusia 6 tahun ke atas diwajibkan menyertai kursus keibubapaan sekurang-kurangnya dua hari setiap tahun. Saya tahu ada yang akan tersenyum sinis membaca cadangan ini dan merasakan ianya tidak boleh dilakukan. Saya yakin seperti mewajibkan semua penumpang kereta memakai tali pinggang keledar, walaupun memerlukan masa agak lama tetapi akhirnya dapat dilaksanakan oleh majoriti.

Kedua, pendidikan seks perlu dijalani oleh remaja sekolah. Mungkin ramai yang menganggap pendidikan seks adalah satu matapelajaran mengajar mengenai perhubungan seks. Ini adalah satu anggapan yang meleset sekali. Pendidikan seks lebih kepada memberi kesedaran kepada remaja mengenai seks sehingga mereka memahami mengenainya dan menghormati perhubungan seks. Remaja juga akan mengetahui bagaimana melindungi diri mereka daripada MELAKUKAN PERHUBUNGAN SEKS.

Ketiga, kepada remaja yang telah terlanjur. Mereka perlulah mempunyai tempat untuk mengadu nasib. Sekali lagi ramailah yang akan menganggap saya mengalakkan remaja melakukan seks. Jika ada tempat begini, lagi ramailah yang akan mengandung anak tidak sah taraf. Adakah ini benar? Seperti kerajaan menyediakan IJN, adakah kerana kerajaan mahu lebih ramai rakyat Malaysia sakit jantung?

Remaja yang terlanjur ini memerlukan tempat-tempat untuk mereka berlindung. Perlindungan ini lebih kepada nyawa yang mereka kandung. Dengan adanya tempat perlindungan seperti ini, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan bayi ini daripada dibuang seperti sampah sarap.

Keempat, masyarakat bolehlah berhenti menghina sesiapa sahaja yang mengandung anak tak sah taraf ini dan keluarga mereka. Orang yang menghina, menyebarkan berita inilah salah satu punca mengapa banyak bayi yang dibuang. Bukan bermakna tindakan orang yang berzina ini betul tetapi yang mengumpat dan menghina ini tidaklah mengurangkan kejadian buang bayi dan mengandung anak tak sah taraf ini.

Terakhir sekali, ibubapa yang pada masa hadapan yang akan menerima berita anak anda hamil anak tak sah taraf, ketahuilah bahawa yang berlaku itu mempunyai hikmahnya tersendiri. Namun saya faham, hikmahnya mungkin tidak dapat dilihat pada hari yang sama. Hikmah kadangkala hanya muncul selepas beberapa tahun peristiwa ini berlaku. Atau mungkin tepat jika saya katakan hanya Allah sahaja yang mengetauinya. Jika ibubapa memerlukan tempat untuk mengadu, carilah kaunselor terlatih untuk memdapatkan bantuan.

Ibubapa semua, sahutlah cabaran saya. Marilah kita sama-sama menjadi ibubapa yang terlatih, berkesan dan bermaklumat di dalam pendidikan anak-anak. Semoga dengan ini banyak lagi kejadian jenayah yang dapat dibendung. Saya yakin ibubapa boleh melakukan perubahan ini.

No comments: