Tuesday, December 15, 2009

Mencukupkan Pendapatan atau Menambah Pendapatan

Salam.

1. Saya yakin semua orang mempunyai isu tersendiri berkenaan kewangan.

2. Maka dengan itu, banyaklah sumber terutamanya media elektronik mengiklankan mengenai isu tersebut. Pelbagai iklan disajikan untuk kita menambah pendapatan. Iklan ini sedikit sebanyak mempengaruhi minda kita mengenai kewangan.

3. Ada iklan yang mengajak anda menyertai mereka menjadi kaya raya melalui perniagaan internet, ada juga yang menggunakan perkataan 'anda tak perlu bekerja' tetapi mendapat pulangan yang lumayan dan pelbagai lagi.

4. Ya! siapalah yang tidak mahu kaya raya. Mempunyai kewangan yang stabil dan kukuh. Bagaimanapun, saya mempunyai satu persoalan asas untuk anda fikirkan.

5. Sebelum anda menambah pendapatan, perkara pertama yang perlu anda buat adalah merancang untuk mencukupkan pendapatan yang ada.

6. Jika anda tidak dapat mencukupkan pendapatan yang sedia ada, percayalah pendapatan yang bertambah nanti juga tidak mencukupi. Duit tidak pernah cukup jika anda tidak merancang cara untuk menggunakannya.

7. Anda lihat sahaja sekeliling anda. Ada banyak benda yang sebenarnya tidak diperlukan tetapi anda beli juga atas tuntutan iklan. Saya melihat ramai orang memiliki telefon yang mahal tetapi tiada simpanan kecemasan. Apabila memerlukan bantuan kewangan terpaksa meminjam pada orang lain.

8. Apakah jenis kereta yang anda pakai? Adakah anda mampu memiliki kereta tersebut? Berapakah perbelanjaan anda sebulan untuk kereta tersebut? Adakah ianya melebihi 30% daripada gaji anda? Jika ya, anda sebenarnya tidak layak memiliki kereta tersebut. Ini adalah kerana anda sepatutnya membelanjakan kurang daripada 30% untuk kereta.

9. Berapa simpanan anda sebulan? Jika tiada, anda tidak layak melanggan astro. Ia adalah kerana pembayaran astro itu sepatutnya anda tukar kepada simpanan tetap anda untuk hari tua dan kecemasan.

10. Adakah anda selalu makan di luar? Jika ya, cuba anda kira kembali berapa yang anda belanjakan makan di luar? Makan di luar sebenarnya mahal dan melibatkan kos yang tinggi.

11. Anda fikirkanlah sendiri. Sebelum anda menambah pendapatan yang ada, perkara pertama anda perlu fikirkan adalah bagaimana anda perlu mencukupkan pendapatan yang sedia ada. Selepas itu barulah anda boleh menambah pendapatan.

12. Pendapatan yang anda tambah akan memberi menafaat kepada anda selepas anda mencukupkan pendapatan yang sedia ada.

13. Bila berbelanja anda perlu tanyakan kepada diri anda sama ada ianya keperluan atau sekadar kemahuan.

14. Anda boleh melakukan perubahan.

Rgds
Liz

Friday, December 4, 2009

Selamat Tinggal Tahun 2009

Salam

1. Tahun 2009 tidak akan datang lagi. Ianya akan berlalu kurang dari 27 hari dari sekarang.

2. Rasanya macam baru lagi menyambut tahun 2009.

3. Bagaimanapun yang berlalu biarlah pergi. Apa yang penting adalah apakah yang telah kita pelajari di sepanjang tahun 2009 ini.

4. Bagi saya, ada beberapa perkara yang saya pelajari. Saya tak banyak berubah walaupun saya mahukan perubahan. Berubah rupa2nya begitu sukar sekali. Tambahan apabila perubahan menuntut saya meninggalkan sesuatu yang rutin dan telah sebati dengan jiwa saya.

5. Perubahan memerlukan saya bekerja kuat, bertindak dan kuat semangat. Kadangkala tahap yang ada tidaklah sekuat mana.

6. Maka, tahun 2008 nampaknya sama seperti 2009. Masalah yang sama, perkataan yang sama, aduan yang sama, jalan hidup yang sama dan semuanya hampir sama.

7. Saya kemudian melihat2 kembali apa yang saya mahukan di dalam tahun yang mendatang ini.

8. Saya mahu menjadi isteri yang lebih baik, lebih memahami dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada suami.

9. Saya mahu menjadi ibu yang lebih baik kepada anak2 saya. Saya mahu menjadi contoh, menjadi pendengar yang lebih baik, memahami masalah mereka dengan lebih empati dan lebih penting lagi saya mahu anak2 saya tahu yang saya menyanyangi mereka dan sentiasa ada di mana2 untuk mereka.

10. Saya mahu menjadi trainer yang lebih produktif dan mencetus perubahan kepada peserta di dalam kursus saya. Dalam masa yang sama saya mahu membaca lebih banyak buku dan menelaah lebih banyak bahan ilmiah.

11. Saya juga mahu menjadi anak yang lebih prihatin, kakak yang lebih baik kepada adik2 saya, jiran yang baik dan menjadi seseorang yang lebih memberi daripada mengharap.

12. Saya juga mahu menjadi sahabat yang dikehendaki bukan dijauhi.

13. Saya tahu apa yang saya mahukan memerlukan saya bertindak. Semua ini perlukan perancangan dan pengorbanan. Semuanya bermula dari diri saya. Saya bertanggungjawab terhadap apa yang saya mahukan di dalam hidup saya sebanyak 100%.

14. Saya perlu memulakan sesuatu. Saya akan mulakan dari sekarang.


Rgds,
LIZ